Keusahawanan
Selain terlibat dengan aktiviti pertanian dan perladangan, terdapat juga penduduk yang menceburi bidang Industri Kecil dan Sederhana (IKS). Antara perusahaan yang terkenal termasuk membuat dodol dan pembuatan kuih sejuk beku. Pengusaha IKS ini biasanya akan menerima bantuan mesin dan khidmat nasihat daripada pihak tertentu.
Perusahaan Dodol Hjh Habibah
Perusahaan dodol di Kampung Budu merupakan antara aktiviti keusahawanan utama di sini. Walaupun sudah menjangkau umur 60-an, Habibah Mohd Amin begitu bersemangat mengusahakan dodol gula kabung di Kampung Budu, Pahang Darul Makmur. Dodol gula kabungnya yang tidak terlalu manis, lemak dan berbau wangi mendapat permintaan yang menggalakkan daripada penduduk setempat. Menurut Hjh Habibah, untuk mengekalkan keenakan rasa dodolnya, beliau menggunakan tepung pulut yang dikisar sendiri dan gula kabung yang diperoleh daripada pembekal di Kampung Peruang, Raub. Malah beliau tidak menggunakan sebarang bahan pengawet bagi mengekalkan rasa, ketahanan dan kualiti dodol. Selain menghasilkan dodol gula kabung dan dodol perasa durian, beliau turut menghasilkan lempuk durian serta sambal hitam yang hanya terkenal di Pahang.
Seiring dengan kemajuan teknologi masa kini, Hjh. Habibah kini memasak dodol dengan menggunakan tiga kawah berteknologi tinggi. Malah setiap kali bulan Ramadhan, beliau akan menyediakan hampir 300 kilogram dodol gula kabung bagi memenuhi permintaan pelanggannya yang meningkat dua hingga tiga kali ganda. Hjh. Habibah menjual dodol gula kabung dengan harga antara RM28.00 hingga RM30.00 sekilogram. Menurut beliau, dodolnya semakin mendapat perhatian selepas menyertai Pameran Pertanian Hortikultur dan Agro Pelancongan (MAHA) pada tahun lalu, serta pelbagai program yang diadakan di seluruh negara.
Hjh. Habibah yang juga penerima Anugerah Peladang Jaya Wanita Pahang 2008 berharap dapat memperluaskan pasaran dodol gula kabungnya ke seluruh Malaysia. Hingga saat ini, dodol gula kabungnya bukan sahaja terkenal di Pahang malah di Pulau Pinang, Johor, Melaka, Kuala Lumpur dan Selangor. Selain memasarkan produk yang dihasilkan secara terus kepada pelanggan, beliau turut menjualnya di pasar tani, pekan sehari dan secara tempahan. Setiap bulan beliau akan menghantar bekalan kepada pengedar di setiap negeri. Beliau juga turut mendapat sokongan daripada Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Daerah Raub dan Negeri Pahang dari segi promosi dan pemasaran.
Gambar
Peralatan yang digunakan untuk membuat dodol
Kuih Sejuk Beku Pn Halimah
Selain perusahaan dodol, perusahaan kuih sejuk beku Pn. Halimah juga terdapat di Kg Budu. Bermula dengan modal sendiri, beliau memulakan perniagaan secara kecil-kecilan pada tahun 2006 dan seterusnya mendapat tajaan RISDA pada tahun 2012 dari segi peralatan memproses kuih. Beliau menghasilkan enam jenis kuih sejuk beku iaitu karipap, cucur badak, donat, samosa, kuih kacang, pau gorang dan pau kukus. Produk jualan ini dijual kepada seluruh penduduk kampung dan kawasan berdekatan. Menurut Pn. Halimah, kuih karipap dan kuih donat mendapat jumlah permintaan tertinggi dari pelanggan. Malah beliau juga turut menerima tempahan membuat kuih untuk majlis jamuan, majlis hari raya, dan majlis perkahwinan. Dari segi penghantaran produk jualan, beliau membuat penghantaran sendiri atau diambil sendiri oleh pelanggannya. Tenaga kerja bagi perusahaan ini hanya terdiri daripada beliau sendiri dan dibantu oleh ahli keluarga sahaja. Selain kuih-muih, beliau turut menghasilkan produk jualan tambahan seperti kerepek pisang, dodol dan sambal hitam.
Produk Jualan
i.Karipap
ii.Cucur badak
iii.Donat
iv.Samosa
v.Kuih kacang
vi.Pau goreng
vii.Pau kukus
viii.Keperpek pisang
ix.Dodol
x.Sambal hitam
Gambar
Dodol
Kuih Sejuk beku
Antara Kuih Sejuk beku yang di usahakan
Sumber : Temuramah bersama Pn. Halimah