Berdasarkan fakta sejarah, Perigi Sejarah Mat Kilau ini telah digali oleh salah seorang Pejuang Kemerdekaan Tanah Melayu iaitu Mat Kilau bin Imam Rasu bersama-sama pengikutnya disekitar tahun 1890an. Perigi ini digunakan sebagai sumber air bagi penduduk setempat termasuklah Mat Kilau dan ayahndanya Imam Rasu atau lebih dikenali sebagai Tok Gajah yang merupakan anak jati kampung ini.

Perigi ini juga terkenal ke seluruh kampung di kawasan Mukim Budu seperti Kg Napal, Kg Kipas, Kg Terap, Kg Jerening hingga menjangkau ke Kg Chat, Kg Tualang Padang dan Kg Peruang. Perigi ini telah menjadi saksi kepada kerakusan pihak British serta semangat perjuangan Mat Kilau bin Imam Rasu dan pengikutnya dalam mempertahankan Mukim Budu dan Daerah Lipis. Kawasan ini serta kawasan sekitarnya merupakan tapak peperangan di antara Mat Kilau dengan askar-askar Sikh di bawah pimpinan Colonel Walker dan Hugh Clifford. Peristiwa berdarah itu menyebabkan Kampung Budu musnah, apabila rumah-rumah dibakar serta binatang ternakan dibunuh. Rentetan dari penyerangan tersebut seluruh penduduk kampung telah melarikan diri ke Bukit Raya (Bukit Tacing). Walaupun demikian, perigi ini tetap wujud sejak zaman berzaman dan mempunyai banyak kelebihan.Antaranya:

a. Perigi ini tidak pernah kering walaupun di musim kemarau kerana terdapat lima buah mata air yang berpunca dari Bukit Gong dan Bukit Raya di dalam perigi ini.

b. Menjadi sumber air minuman, mandian dan kegunaan seharian bagi kanak-kanak sekolah yang berulang alik pada zaman dahulu, iaitu dari Sekolah Kebangsaan Budu ke kampung disekitarnya.

c. Air perigi ini berkhasiat untuk diminum apabila mengalami masalah terlekat tulang ikan. (Jangan bergantung dengan air perigi ini, tetapi hendaklah bergantung hati sepenuhnya dengan Allah SWT).

d. Walaupun fungsi Perigi Mat Kilau amat minima pada masa kini, namun penduduk setempat tetap meneruskan usaha-usaha menaiktaraf khazanah yang penuh bersejarah ini kerana ia sentiasa menjadi tumpuan dan masih boleh digunapakai sehingga hari ini. 

 

PERIGI MAT KILAU.jpg

 

 

Tidak banyak bukti yang berasas untuk menyokong sejarah kewujudan Kampung Budu Secara kronologi. Ada yang mengatakan Kampung Budu wujud sejak zaman berzaman dan dihuni oleh beberapa kumpulan orang Asli. Ada pula yang mengatakan ia dibuka oleh seorang panglima dari Kesultanan Melaka, bernama Panglima Ibrahim. Malah terdapat juga versi yang mengaitkannya dengan Kesultanan Selangor dan Kesultanan Perak. Tetapi pada amya , masyarakat mengenali Kampung Budu sebagai Kampung Tok Gajah.

Terdapat juga cerita-cerita yang mengatakan bahawa Kampung Budu ini merupakan perkampungan orang ‘bunian’.  Terdapat tiga perkampungan orang bunian yang menetap di Bukit Perangin, Bukit Kolam  dan Bukit Perenti  yang terletak di Permatang Bukit Raya menghala ke Ulu Dong.  Peranan orang bunian di Budu juga sama dengan mitos di Kota Gelangi.  Hubungan masyarakat Melayu lama terputus kerana sikap tamak dan mungkir janji dengan ikatan amanah antara masyarakat bunian.  Kononnya mereka inilah yang menjadi pelindung kepada ancaman masyarakat luar.  Sehinggakan ada yang menyatakan Kampung Budu ini merupakan tempat suci atau “A sacred village” bagi tamadun kuno.

Mungkin secara kebetulan makna Budu itu hampir sama dengan maksud arab ‘sembah’.  Diriwayatkan juga bahawa Kampung Budu pada masa lampau tidaklah seperti gambaran sekarang, ia merupakan sebuah perkampungan yang amat besar, merangkumi berpuluh-puluh kampung lain. Persempadanan kampung hanya dipisahkan oleh sungai-sungai, tasik dan bukit atau gunung-ganang.

Secara geografinya pula, Kampung Budu terletak hampir-hampir di tengah Semenanjung Tanah Melayu dan dikelilingi oleh sungai-sungai besar yang menghubungkan kawasan-kawasan tamadun lain seperti Tasik Chini, Kota Gelanggi. Malah kawasan ini dilindungi oleh Banjaran Titiwangsa di barat, gunung-ganang yang  tinggi di utara, Chini di timur dan Kesultanan Melaka di selatan, malah satu tamadun lama di Johor yang masih dalam penyelidikan.

Bukti-bukti sejarah yang terdapat di Mukim Budu antaranya ialah Perigi Sejarah Mat Kilau, Kubu Parit Dalam, Kubu Tualang Padang, Perkampungan Lama Permatang atau Bukit Raya, Sungai Teka yang digunakan oleh pahlawan sebagai jalan pengangkutan utama, Perkuburan lama Kampung  Empau iaitu tempat pengikut-pengikut Tok Gajah dan Mat Kilau disemadikan dan perkuburan lama Kampung Tualang di Kampung Terap.

CERITA DISEBALIK NAMA-NAMA KAMPUNG DI BUDU

Sejarah asal-usul kampung-kampung di Mukim Budu mempunyai ceritanya tersendiri.  Terdapat  pelbagai cerita sejak turun temurun yang  telah diceritakan daripada nenek-moyang berkaitan dengan asal-usul yang tersendiri.

Sejarah penubuhan Kampung Budu berasal daripada nama Tok Batin yang tinggal di sekitar kawasan ulu sungai di Kuala Sungai Teka yang bernama Budu. Tok Batin tersebut merupakan ketua di kawasan tersebut yang belum mempunyai nama.  Oleh itu, nama kampung tersebut diambil sempena nama Tok Batin tersebut, maka wujudlah kampung yang bernama Kampung Budu.  Tidak lama kemudian, datang orang-orang Melayu yang diketuai oleh panglima mendiami kawasan tersebut.

Ada juga versi yang banyak diceritakan bahawa kononya Kampung Budu ini pada zaman dahulu mengandungi banyak emas.  Kemungkinan Panglima Ibrahim ingin menakluki Kampung Budu kerana hasil emasnya.  Sumber lain mengatakan bahawa panglima dari kawasan seberang meminta izin dari Tok Batin untuk menggunakan laluan sungai berkenaan. Beliau mendapat tentangan hebat dari Tok Batin Budu, sehinggakan berlaku peperangan dan berlarutan dalam tempoh yang lama. 

Sumber lainnya disebabkan Tok Batin tidak memberikan keizinan menyebabkan tercetus pergaduhan antara mereka.  Ada yang mengatakan peperangan berlaku berminggu-minggu atau berbulan-bulan sehinggakan mayat sudah menjadi bangkai dan ditapak pertempuran itulah Kuala Bangkai mendapat namanya (merupakan muara Sungai Teka).  Ramai orang Asli terbunuh dan ada yang melarikan diri.  Kawasan tersebut kemudiannya telah dinamakan Kuala Bangkai.

Dengan kemenangan ini, Panglima Ibrahim telah berjaya mudik ke hulu Sungai Teka dan mendarat di Lubuk Besor, seterusnya menubuhkan perkampungan yang dikenali sebagai Kampung Budu sempena nama Tok Batin Budu.  Peristiwa bersejarah yang dapat dikaitkan dengan Kampung Budu ialah ketika zaman Tok Gajah dan Mat Kilau menentang penjajah Inggeris di kampung ini.  Kedua-dua tokoh ini mempertahakan kampung tetapi usahanya menemui kegagalan dan mereka kemudian telah lari bersembunyi.

Selain itu, hasil temuramah dengan seorang penduduk Kampung Budu menceritakan bahawa nama asal Kampung  Budu diambil sempena nama Tok Batin orang Asli yang mula-mula membuka kampung tersebut.  Menurut ceritanya, Tok Batin tersebut membela seekor ular yang besar dan makanan ular tersebut ialah anak dara di kampung tersebut.  Oleh itu, hal ini menjadi kemarahan penduduk kampung di situ khususnya orang Melayu.  Maka tercetuslah peperangan antara orang Asli dan orang Melayu sehingga berminggu-minggu dan berbulan-bulan.  Apabila orang Asli mengalami kekalahan, mereka telah lari ke dalam hutan.  Akibat peperangan itu, terlalu banyak bangkai yang tinggal di tepi sungai sehingga tempat tersebut digelar Kuala Bangkai.  Tetapi ada juga pendapat menyatakan bangkai tersebut adalah bangkai ular besar milik Tok Batin yang mati.

Ada juga cerita kononnya Kampung Budu dinamakan sempena penemuan seekor anak “berudu” yang amat besar.  Sebenarnya terdapat pelbagai versi  tentang asal usul sesuatu tempat atau kampung.  Ada yang berupa mitos ada yang berdasarkan kenyataan pada masa itu.  Ia banyak dipengaruhi oleh mereka-meraka melalui zaman tersebut.

                       

 

Sumber:

i.Haji Anuar  Abd.Rahman ,Secebis Kisah dari desa KAMPUNG BUDU dari Terbitan Ikatan Anak-Anak Watan Di

IbuKota

ii.http://ms.wikipedia.org/wiki/Kg_Budu

iii.http://telecentre.my/kampungbudu/index.php/ms/home.html

iv.Temuramah bersama En.  Manap - 22/12/2012

 

TIADA KAITAN BUDU KELANTAN

 
Sungai Teka menjadi penghubung paling penting di Kampung Budu

SUNGAI Teka menjadi penghubung paling penting di Kampung Budu dan Hulu Pahang.

 

PASTI ramai yang akan mengaitkan Kampung Budu dengan makanan popular orang Kelantan, Budu sebaik mendengar nama kampung ini.

Pada hemat mereka, mungkin kerana itu kampung ini dinamakan sedemikian.

Namun percaya atau tidak, ia langsung tiada kaitan dengan makanan tersebut tetapi terdapat beberapa mitos atau kisah yang menyebabkan kampung itu mendapat namanya.

Menurut Pengasas Pusat Pembangunan Modal Insan (PPMI) Kampung Budu, Komander (B) Roslizan Ahmad Mahidin, mengikut cerita lisan seorang penduduk lama kampung tersebut, nama Budu dikatakan berasal dari seekor anak berudu besar yang ditemui di sungai di sekitar kampung itu suatu ketika dahulu.

Selain itu katanya, terdapat juga versi yang menceritakan bahawa seorang bangsawan dari Melaka dikenali sebagai Panglima Tun Ibrahim telah berperang dengan sekumpulan suku Orang Asli yang mendiami kawasan itu.

“Mengikut cerita, kedatangan Tun Ibrahim telah mendapat tentangan Tok Batin Badu sehingga mencetuskan persengketaan dan akhirnya berlaku peperangan yang panjang antara mereka. Setelah berjaya mengalahkan Tok Batin Badu, Tun Ibrahim telah mudik ke hulu Sungai Teka dan mendarat di sebuah tempat yang dinamakan Lubuk Besar.

“Beliau kemudian mengasaskan perkampungan Melayu dan dinamakan sebagai Kampung Badu. Namun lama-kelamaan, nama itu bertukar menjadi Kampung Budu,” katanya.

Tambah Roslizan, terdapat juga sumber yang mengatakan bahawa nama kampung itu berkemungkinan besar berasal daripada ayat di dalam Surah Al-Fatihah,” katanya.

Dalam pada itu, Roslizan yang merupakan anak jati Kampung Budu berkata, kampung kelahirannya itu memainkan peranan penting suatu ketika dahulu dan ia dibuktikan dengan kewujudan sungai-sungai yang menjadi penghubung kepada beberapa lokasi penting di Pahang.

“Sungai Teka yang mempunyai kuala sungai di Benta dan hulunya di Kampung Batu Naga menjadi jalan utama pada masa dahulu yang menghubungkan kampung-kampung sekitarnya sehingga sepanjang hampir 16 batu.

“Sungai ini juga menjadi tanda kepada peperangan Tok Gajah dan anaknya Mat Kilau menentang Inggeris. Selain itu, sungai ini telah menjadi rebutan panglima-panglima dan pemimpin dahulu kala kerana di dalamnya terdapat sumber anugerah Allah iaitu emas,” katanya.

Katanya, Sungai Teka boleh disusuri sehingga ke Sungai Lipis manakala Sungai Lipis yang berkualakan Sungai Jelas pula mengalir ke Kuala Tembeling yang akhirnya bercantum dengan Sungai Pahang.

Beliau berkata, jalinan sungai-sungai itu menjadi bukti kepada perhubungan erat antara penduduk Kampung Budu merentasi sehingga ke daerah Jerantut dan ke Pekan.

Sumber :Utusan Malaysia( 30 Mei 2015 1:11 AM )

 

 

Kalendar

November 2024
S M T W T F S
1 2
3 4 5 6 7 8 9
10 11 12 13 14 15 16
17 18 19 20 21 22 23
24 25 26 27 28 29 30